Cadangan MFL praktikkan kaedah La Liga terus mendapat reaksi positif

Cadangan pelaksanaan peraturan kawalan ekonomi oleh Malaysia Football League (MFL) sepertimana dipraktikkan di La Liga, nampaknya terus menerima reaksi positif dari pasukan-pasukan yang bertanding.



Selepas Felda United, giliran Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pula menyatakan sokongan terhadap langkah itu yang disifatkan dapat membendung ketirisan dalam soal pengurusan kewangan.



Begitupun, Naib Presiden PAFA Abd Aziz Yeop Jamaluddin berpendapat usaha MFL itu perlu disusuli dengan kerjasama semua pihak khususnya pihak pengurusan pasukan negeri dan kelab yang harus bersedia mengubah mentaliti.

–– ADVERTISEMENT ––



“Ini satu langkah baru, kalau kita lihat jumlah kes dan hutang kelab Sepanyol lebih tinggi berbanding di Malaysia tapi pihak LaLiga berjaya mengatasinya menerusi sistem kawalan ekonomi ini.



“Saya percaya di sana, semua pasukan memberikan kerjasama untuk LaLiga melakukan sebarang perubahan termasuk kawalan ekonomi ini.



“Jadi di sini, semua pasukan juga perlu berikan kerjasama dan menyokong usaha MFL.  Mentaliti kena ubah, jangan anggap semua perkara itu remeh. Banyak dokumen diperlukan oleh MFL untuk melihat kedudukan kewangan pasukan, jadi semua pasukan perlu bersedia untuk bekerjasama,” katanya.



Tambahnya lagi, “Bagaimanapun kita harus sedar ia mengambil masa untuk kita perbetulkan sistem sedia ada, kalau kita lihat LaLiga sendiri memerlukan lima tahun untuk langsaikan semua hutang pasukan, jadi kita perlu bergerak daripada sekarang.”



Sementara itu, Pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad pula berkata, “Ia satu permulaan yang baik untuk tidak ada lagi tunggakan hutang atau ketirisan dari segi penaja atau sebagainya. Sebab impak buruk akhirnya akan dirasai oleh pemain. Pemain ini adalah pemain profesional dan ini adalah rezeki mereka dengan bermain bola.



“Jadi apabila disebabkan oleh hutang-hutang dan ketirisan ini mereka yang akan merana. Bila ada kawalan yang ketat berkaitan kewangan setiap pasukan, ia secara langsung akan menambah baik dan tidak akan ada lagi masalah berkaitan hutang dan sebagainya.”



MFL pada Jumaat lalu menerusi kenyataan Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Wira Yusoff Mahadi memaklumkan badan pentadbir Liga Malaysia itu bersedia mempraktikkan sistem kawalan ekonomi seperti yang digunakan LaLiga.



Sejak dilaksanakan pada 2012, LaLiga telah berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada tahun 2017 sekali gus berjaya menyelesaikan masalah kemelut gaji di antara pasukan dan pemain dalam tempoh lima tahun.



Menerusi kawalan ekonomi ini perbelanjaan pasukan dikawal mengikut kedudukan kewangan mereka dan tindakan lebih tegas akan diambil kepada pasukan yang masih berhutang selepas peraturan itu dikuatkuasakan.

Sumber : MFL FOTO & FOXSPORTS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *